suria

Pengundi Diseru Keluar Pagi Untuk Elak Hujan Lebat

LABIS: Penduduk di kawasan pilihan raya kecil Dewan Uundangan Negeri (DUN) Tenang diseru menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi bagi mengelak hujan lebat yang dijangka berlaku petang Ahad.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca pagi esok mendung manakala hujan lebat pada sebelah petang.

"Kita mahu pengundi turun mengundi di sebelah pagi...jangan tangguh-tangguh," katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberi amanat kepada petugas SPR di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis, Sabtu.

Abdul Aziz berkata semua 12 pusat yang mempunyai 32 saluran mengundi adalah selamat daripada kemungkinan dilanda banjir kerana terletak di tempat tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata banjir dikhuatiri berlaku di sebatang jalan sepanjang tiga kilometer menuju ke pusat mengundi Kampung Sawah Baru, iaitu Sekolah Kebangsaan Sawah Baru, kerana terletak di kawasan rendah dan mudah ditenggelami air.

"Pengundi tidak perlu risau kerana SPR telah mengadakan persiapan yang rapi dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan polis bagi menyediakan kemudahan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat tersebut," katanya.

Beliau berkata jentera pilihan raya parti yang bertanding turut menyediakan pengangkutan bagi penyokong masing-masing.

Pusat mengundi akan dibuka pada 8 pagi dan ditutup 5 petang, manakala pengiraan undi dijangka siap pukul 6 petang.

Kesemua kotak undi dijangka tiba di pusat penjumlahan di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis pada 6.45 petang, dan keputusan awal boleh diketahui sekitar 7.30 malam.

Keputusan pilihan raya kecil yang menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan calon Pas Normala Sudirman, 38, dijangka diumumkan pada 8 malam. - BERNAMA

Artikel Lain