suria

Pengundi Dinasihat Keluar Mengundi Awal

LABIS: Para pengundi di sini dinasihatkan supaya keluar mengundi pada waktu pagi pada Ahad kerana cuaca diramalkan hujan pada sebelah petang.

“Mengikut ramalan kaji cuaca sebelah pagi dikatakan mendung, sebelah petang hujan. Jadi saya ingin nasihatkan pengundi-pengundi di sini keluar mengundi sebelah pagi.

“Jangan tangguh-tangguh. Keluar mengundi awal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir petugas SPR di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini pada Sabtu.

Abdul Aziz berkata, SPR juga telah membuat persediaan rapi sekiranya banjir berlaku di kawasan mengundi.

“Pengundi akan diangkut meggunakan trak daripada Jabatan Pertahanan Awam 3, Pasukan Bomba dan Penyelamat, pihak polis dan Majlis Daerah Labis sekiranya jalan untuk menuju ke pusat mengundi dilanda banjir.

“Tempat mengundi tidak akan berlaku banjir tetapi di Kampung Sawah Baru jalannya rendah sedikit. Jarak antara jalan ke pusat mengundi, di Sekolah Kg Sawah Baru lebih kurang tiga kilometer,” katanya.

Jelasnya, pihak SPR telah bersedia sejak dari awal lagi supaya ia tidak menggangu pengundi untuk keluar dan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Beliau juga masih optimis, sasaran 80 peratus pengundi akan keluar melaksanakan tanggungjawab mereka walaupun dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak lima hari yang lalu di Tenang.

“SPR perlu optimis. Kita harap pengundi sedar tanggugjawab mereka. Jangan risau masalah keselamatan keran kita ada pihak polis.

“Sekiranya jalan ke pusat mengundi tidak boleh diakses, kita sudah bersedia. Insya-Allah kita boleh capai 80 peratus,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penyokong parti-parti bertanding supaya mematuhi arahan dan undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Saya harap penyokong parti tidak berkumpul di tempat-tempat tertentu untuk meraih dan merayu undi. Bila dah makin ramai dia akan jadi perkara yang lain,” katanya.

Abdul Aziz turut meninjau persiapan terakhir di pusat penjumlahan undi pada Sabtu berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan oleh petugas-petugas pilihan raya.

“Kita dapati persiapan di pusat-pusat mengundi telah berjalan dengan baik. Kertas-kertas undi telah disemak dengan teliti oleh para petugas mengikut saluran dan tempat mengundi masing-masing.

“Kita tidak mahu ada sedikit pun kecacatan dan aduan berkenaan kertas undi seperti di Galas mereka kata kertas undi kita tak ada simbol," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan parti-parti bertanding supaya tidak berkempen selepas tempoh kempen tamat pada pukul 12 tengah mala ini.

“Sekiranya mereka terus berkempen, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Pada hari mengundi juga tidak dibenarkan meraih dan merayu undi kerana ia sebahagian daripada kempen.

“Saya dah sebut banyak kali. Penyokong parti dari luar khasnya jangan melanggar undang-undang. Pihak polis akan membantu SPR untuk menguatkuasakan undang-undang ini,” katanya.

Menjelang hari pengundian esok, Abdul Aziz berkata hanya barung SPR sahaja yang dibenarkan untuk membantu pengundi menyemak saluran dan pusat mengundi mereka.

Keputusan penuh pilihan raya kecil DUN Tenang dijangka akan diumumkan seawal pukul 8 malam

Pilihan raya kecil DUN Tenang menyaksikan saingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN telah memilih bekas Penolong Tadbir Pejabat Daerah Rengit, Mohd Azhar Ibrahim, 39, manakala PAS diwakili oleh Normala Sudirman, 39, bekas guru sebagai calon.

DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

SPR telah menyediakan sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi.

Artikel Lain