suria

Kebersihan, Penjagaan Alam Sekitar Penting Bagi Industri Pelancongan

LANGKAWI: Kebersihan dan penjagaan alam sekitar amat penting bagi Malaysia untuk menjadi destinasi pelancongan utama dunia, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata banyak pelancong menyifatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan menarik, tetapi kecewa dengan keadaan kebersihan di tempat peranginan, terutama tandasnya.

"Malaysia bagus, tapi "hidung boleh tahu di mana terletaknya tandas," kata mereka. Oleh itu, saya gesa semua rakyat Malaysia supaya menulis secara terus kepada pihak berkenaan, terutama pengusaha pusat pelancongan, sekiranya mereka mendapati tempat peranginan atau tandasnya tidak bersih," kata Ng pada majlis penyampaian Anugerah Industri Pelancongan Langkawi 2010/2011 di sini malam Jumaat.

Beliau berkata kementerian berkenaan telah memperkenalkan inisiatif "1Malaysia Hijau, 1Malaysia Bersih" untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pengusaha industri pelancongan dan orang ramai tentang pentingnya meningkatkan tahap kebersihan di tempat pelancongan.

Katanya kementerian itu sedang giat berusaha untuk membangunkan sebuah industri pelancongan yang maju dan lestari serta tidak mengorbankan biodiversiti melalui "penjagaan, pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar serta keindahan alam semula jadi dan warisan budaya negara.

"Perangai tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan alam sekitar dan mengakibatkan banjir kilat. Ini tidak baik bagi industri pelancongan," katanya.

Ng berkata kebersihan dan perlindungan alam sekitar akan menjadi fokus utama kementerian yang beliau terajui itu untuk menarik kedatangan lebih banyak pelancong ke Malaysia.

"Kita tersenarai antara 10 negara terbaik dunia daripada segi destinasi pelancongan bagi 2010. Daripada 10 negara itu, hanya terdapat dua negara Asia.

"Pertama China, di tempat keempat. Bagaimanapun, China adalah sebuah negara besar, dengan 1.3 bilion penduduk. Kedua ialah Malaysia, di tempat kelapan.

"Penduduk kita hanya 28 juta," katanya.

Ng berkata di bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia, negara ini berharap dapat mencatat 36 juta ketibaan pelancong dan meraih pendapatan melalui industri pelancongan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.

Pada majlis itu, The Westin Langkawi Resort & Spa diumumkan sebagai pemenang Anugerah Hotel/Resort Cemerlang.

Mardi Agro Park, Langkawi pula memenangi Anugerah Produk/Program Inovatif Cemerlang, manakala Four Seasons Resort Langkawi meraih Anugerah Usaha Hijau Cemerlang.

Anugerah Restoran Cemerlang menjadi milik Restaurant Putumayo, manakala AB Motel meraih Anugerah Tempat Penginapan Bajet Cemerlang, HBS Evergreen Tour Sdn Bhd (Pengendali Bot Cemerlang), Osman Ayob (Pemandu Pelancong Cemerlang), Sala Travel & Tours Langkawi (Ejen Pelancongan & Perjalanan Cemerlang), Panorama Langkawi Sdn Bhd (Produk Pelancongan Cemerlang) dan Jetty Point Duty Free Complex (Gedung Beli-belah Cemerlang).

Pengurus Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Megat Shahrul Azman Abas pula dipilih sebagai Tokoh Pelancongan.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia(Bernama), adalah antara penerima Anugerah Khas pada majlis itu, yang berlangsung di Auditorium Lada. - BERNAMA

Artikel Lain