suria

Jawatankuasa Bencana Alam Guna Pelbagai Kaedah Bantu Pelajar Di Australia

BRISBANE: Jawatankuasa Bencana Alam, yang ditubuhkan untuk pelajar Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir di negara ini, komited membantu mereka menerusi pelbagai cara dan kaedah bagi mengesan keseluruhan pelajar terbabit.

Pengerusi jawatankuasa itu Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata antara kaedah tersebut ialah memaparkan iklan di akhbar tempatan, laman web pejabat pesuruhjaya tinggi serta Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) dan laman sosial Facebook persatuan pelajar Queensland.

"Kita menghadapi kesukaran mengesan pelajar yang terbabit, dan kita melakukan inisiatif tersebut berikutan kesukaran mendapat maklum balas pelajar terbabit selepas berlakunya masalah komunikasi terputus ketika bencana," katanya kepada wartawan Malaysia selepas majlis perjumpaan penuntut Malaysia dengan Kelab Putera 1Malaysia di Bilik Gerakan Banjir di Hawken Drive, St.Lucia, Sabtu.

Perjumpaan itu membabitkan pelajar University of Queensland dan Queensland University of Technology Brisbane, anggota Kelab Putera 1Malaysia serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Salman Ahmad.

Mohd Zulkifli berharap kaedah berkenaan akan membolehkan pelajar terbabit mendaftarkan diri dengan jawatankuasa itu secepat mungkin.

Beliau berkata beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia serta syarikat korporat seperti Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan Petronas, selain Kelab Umno Luar Negara dan Puteri Umno, turut menyalurkan bantuan kewangan kepada pelajar Malaysia.

Katanya, sehingga semalam, seramai 205 pelajar Malaysia dan keluarga mendaftar di pusat pemindahan yang disediakan seperti di St Lucia, Toowomba dan Gunneda.

Sementara itu, Kelab Putera 1Malaysia turut menyumbangkan komputer riba dan sejumlah RM15,000 (US$5,000) kepada Salman, yang mewakili persatuan pelajar Malaysia di Queensland, bagi menganjurkan program berfaedah.

Pengerusi kelab itu Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata sumbangan itu sebagai tanda simpati kerajaan bagi membantu meringankan beban mereka yang belajar di luar negara.

"Sejumlah wang itu diberikan untuk membolehkan pelajar terbabit menampung semula kerugian dan perbelanjaan yang perlu ditanggung akibat banjir, termasuk persediaan memasuki semester baru pusat pengajian tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Cancelor Antarabangsa Universiti Queensland Dr Anna Ciccarelli berkata pihaknya telah mengambil langkah segera dengan menyediakan pusat pemindahan pelajar di kawasan yang selamat dan selesa kepada mereka.

"Kami amat prihatin dengan kebajikan kira-kira 1,000 pelajar Malaysia di sini, terlebih dahulu kami sediakan tempat penginapan, kemudian kami minta mereka menghubungi kami bagi mengetahui apa yang diperlukan," katanya.

Ciccarelli berkata pihaknya sentiasa bekerjasama baik dengan persatuan pelajar Malaysia bagi memudahkan bantuan khidmat kepada pelajar dapat diselaraskan.

Terdahulu, Kelab Putera 1Malaysia menghulur sejumlah RM3,700 (US$1,000) kepada pelajar Malaysia yang terjejas teruk akibat bencana itu mengikut kategori bantuan yang diperlukan, selain RM1,800 (US$600) kepada yang tidak terjejas teruk dan terpaksa berpindah.- BERNAMA

Artikel Lain