suria

Jabatan Kesihatan Sarawak Pantau Perkembangan Kes H1N1

KUCHING: Jabatan Kesihatan Sarawak akan memantau jumlah kes Influenza A (H1N1) di 23 klinik sentinel di seluruh negeri ini, lebih-lebih lagi dengan jangkaan pergerakan besar-besaran orang ramai sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan.

Dr Chan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Negeri berkata sebanyak 44 kes yang telah disahkan dilaporkan sehingga Jumaat.

"Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengisytiharkan pandemik Influenza A H1N1 telah berakhir, trend kes penyakit serupa Influenza (ILI) dilaporkan meningkat sejak dua minggu terakhir tahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mengalami simptom Influenza, khususnya mereka yang tergolong dalam kumpulan yang mempunyai faktor risiko tinggi supaya segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital.

Juga penting bagi kalangan yang mengendalikan kawasan awam seperti kedai makan, kedai kopi, pasar dan pusat beli-belah memastikan mereka meningkatkan tahap kebersihan, termasuk tandas dan sinki basuh tangan untuk mengelak premis mereka menjadi tempat punca penyebaran penyakit itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain