suria

Gobalakrishnan Umum Keluar PKR, Jadi Ahli Parlimen Bebas

KULIM: Anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan, mengisytiharkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini menjadi anggota Parlimen Bebas berkuat kuasa serta merta.

Gobalakrishnan, 50, mengumumkan keputusan itu pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Paya Besar Lunas, dekat sini, Sabtu.

Dengan keputusannya itu, katanya beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak akan mengeluarkan sebarang surat mengenai perkara itu kepada PKR.

"Saya sudah fed up (bosan) dengan (Penasihat PKR) (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) serta (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali, yang kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR," katanya.

Katanya beliau bersama beberapa orang temannya terdiri daripada peguam, jurutera, doktor dan lain-lain akan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperjuangkan dan menjaga kepentingan pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai.

Gobalakrishnan berkata pengorbanan dan perjuangan yang dilakukannya selama 12 tahun menjadi anggota parti itu tidak pernah dihargai dan merasa amat kecewa dengan sikap Anwar dan Azmin yang mengambil sikap membisu seribu bahasa terhadap semua komennya termasuk dalam Twitter beliau sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata selama ini tindakan Anwar bukan sahaja memperkudakan kaum Melayu dan Cina sahaja dalam mencapaikan cita-citanya tetapi kaum India juga tidak terkecuali.

Katanya beliau yakin hasrat Anwar untuk menakluk Putrajaya akan tersasar sekaligus gagal kerana bagaimana mahu mentadbir negara dengan masalah dalaman parti pun semakin teruk.

"Kerana itulah saya membuat keputusan keluar parti yang saya juga menjadi salah seorang pengasas ketika penubuhannya.

"Nampaknya parti ini sudah nak runtuh, jadi biarlah saya keluar sebelum “rumah” ini runtuh," katanya.

Gobalakrishnan berkata tindakannya keluar parti adalah tindakan bersendirian dan terpulanglah kepada penyokong-penyokongnya sama ada mahu ikut bersamanya atau kekal sebagai anggota PKR.

Sementara itu, Setiausaha PKR Cabang Padang Serai S. Nagalingam yang turut hadir pada sidang media itu berkata timbalan pengerusi cabang berkenaan Johari Ismail akan memangku jawatan Ketua Cabang yang dilepaskan Gobalakrishnan. - BERNAMA

- BERNAMA

Artikel Lain