suria

DUN Pelabuhan Klang: SPR Tunggu Keputusan Mahkamah

LABIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengadakan sebarang mesyuarat khas mengenai status kerusi Dewan Undangan Negeri, (DUN) Pelabuhan Klang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR akan menunggu keputusan mahkamah berhubung permohonan injunksi yang difailkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah untuk menghalang suruhanjaya itu daripada mengumumkan status kerusi berkenaan.

“Perkara ini telah dibawa ke mahkamah, kita tidak akan adakan sebarang mesyuarat khas berhubung kerusi Pelabuhan Klang. Bila sudah bawa ke mahkamah kita kena ikut jadi SPR akan tunggu keputusan mahkamah dulu,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menetapkan 7 Februari ini untuk mendengar permohonan ADUN Pelabuhan Klang untuk menghalang SPR daripada menentukan status kerusi DUN Pelabuhan Klang.

Semalam Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 7 Februari ini untuk mendengar permohonan Badrul Hisham untuk menghalang SPR daripada menentukan status kerusi DUN Pelabuhan Klang.

Beliau turut memohon satu perintah sementara untuk menghalang suruhanjaya itu mengambil sebarang langkah atau tindakan untuk menentukan terdapat kekosongan kerusi DUN itu.

Beliau mendakwa masih merupakan wakil rakyat sah bagi kawasan itu selepas Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan kerusi itu kosong minggu lepas.

Beliau memenangi kerusi DUN itu sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2008 sebelum keluar parti pada 29 Oktober 2009 dan menjadi wakil rakyat bebas.

Artikel Lain