suria

Bank Buku Di Stesen Butterworth, Johor Pertengahan Tahun Ini: D'Cruz

IPOH: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), akan menambah dua Bank Buku di stesen Butterworth dan Johor pada pertengahan tahun ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata penempatan Bank Buku di stesen tersebut adalah untuk memberi peluang serta memudahkan orang ramai menderma buku terpakai atau baru, supaya dapat dijadikan bahan bacaan dalam keretapi.

Beliau berkata usaha itu juga bagi memupuk budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia, terutama golongan belia, sekaligus memberi kesedaran tentang kepentingan ilmu dan keseronokan membaca.

"Kini generasi muda tidak membaca. Saya melihat hanya golongan berusia yang membaca. Golongan muda tidak membaca dan mereka melupakan buku. Jadi, kita tidak mahu belia kita menjadi seperti belia di negara Eropah yang mana mereka hanya membaca menerusi internet sahaja.

"Kita mesti mendidik orang kita dahulu cara memanfaatkan buku...Itulah sebabnya kita perlu membuka (Bank Buku) di tempat lain seperti Pulau Pinang, Kelantan dan Johor," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bank Buku di Stesen Ipoh sempena program Membaca 1Malaysia: Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan Siri 2, Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar, Pengurus Besar KTM Intercity Mohd Zain Mat Taha dan angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

D'Cruz juga berharap orang ramai menyokong usaha tersebut dengan mendermakan seberapa banyak buku untuk dijadikan bahan bacaan penumpang keretapi.

Mengenai program Membaca 1Malaysia: Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan, beliau meminta ia diteruskan di semua laluan keretapi kerana mampu memupuk budaya membaca di kalangan penumpang.

"Masa yang terluang selama enam ke lapan jam di dalam keretapi dapat dimanfaatkan oleh penumpang dengan aktiviti membaca, selain itu, ia juga dapat memberikan manfaat kepada pelancong asing untuk mendapatkan maklumat mengenai negara kita," katanya.

Seramai 250 peserta mengikuti program anjuran bersama PNM dan KTMB itu, yang bermula dari Stesen KL Sentral hingga ke Stesen Ipoh dan pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang perjalanan, antaranya sumbangan bahan bacaan, sesi motivasi bersama angkasawan negara serta sesi bercerita di dalam keretapi.

Program itu mula diperkenalkan dua tahun lalu yang bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan penumpang keretapi mengenai budaya membaca, kepentingan ilmu pengetahuan dan pembelajaran sepanjang hayat.- BERNAMA

Artikel Lain