suria

Ali Rustam Dilantik Pengarah Pilihan Raya BN Merlimau

LABIS: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pelantikan Mohd Ali dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Saya yakin beliau cukup berpengalaman atas kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri kita mengharapkan jentera BNdapat digerakkan bagi memastikan kerusi Merlimau kekal di pihak BN,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Masjid Pekan Ayer Panas di sini, pada Sabtu.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau ialah pada 26 Februari depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 6 Mac.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54, dari BN pada 20 Januari lepas.

Muhyiddin berkata, siapapun calon BN yang akan dipilih nanti akan menerima sokongan daripada masyarakat kawasan terbabit, jentera serta pucuk pimpinan parti.

Mengenai calon, beliau berkata perkara tersebut akan dibincangkan kemudian selepas Umno Bahagian memberikan nama sebelum ia diputuskan oleh Presiden Umno.

Dalam perkembangan lain, mengenai tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas, Muhyiddin menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai sebuah parti yang kian rapuh.

“PKR ialah parti kian rapuh kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini ramai pengasas parti itu sudah keluar.

“Ini satu petanda perjuangan PKR memang tidak didukung bukan sahaja oleh pemimpin tetapi rakyat. Saya percaya dari semasa ke semasa ramai ahli mereka akan sedar dan meninggalkan parti itu,” katanya.

Pada Sabtu Gobalakrishnan, mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR dan menjadi anggota Parlimen Bebas berkuat kuasa serta merta.

Dengan keputusannya itu, katanya beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai.

Artikel Lain