suria

ADUN BN Sarawak Adakan Perjumpaan Dengan PM

KUCHING: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Miri pada 6 Februari ini.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah ketika mengesahkan perkara tersebut berkata perjumpaan tersebut adalah mirip kepada perjumpaan bersama anggota Parlimen BN yang diadakan di Kuala Lumpur 8 Januari lalu.

"Kali ini Perdana Menteri akan membuat perjumpaan bersama semua anggota DUN dari komponen BN di Sarawak dan ia pastinya akan membincangkan beberapa perkara termasuk hal berkaitan persiapan pilihan raya negeri," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Kuching di sini Sabtu.

Fatimah yang juga Timbalan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata perjumpaan bersama perdana menteri itu akan diadakan secara berperingkat mengikut kumpulan kecil sepertimana perjumpaan bersama anggota Parlimen BN baru-baru ini.

Ketika ini Sarawak mempunyai 63 ADUN yang mewakili BN iaitu PBB (35 kerusi), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (12 kerusi) manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing memiliki lapan kerusi daripada 71 kerusi DUN yang ada. - BERNAMA

Artikel Lain