suria

17 Kematian Pada Hari Kedua Ops Sikap Ke-23

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kematian dicatat pada hari kedua Ops Sikap ke-23 pada Jumaat, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula Khamis lalu kepada 25 orang.

Laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan mereka yang terkorban melibatkan empat pengguna kereta, 10 penunggang motosikal, seorang penumpang bas dan dua pejalan kaki.

Selain itu, sebanyak 1,038 kemalangan dilaporkan berlaku pada Jumaat dengan jalan bandaran mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 466 kes diikuti jalan persekutuan (268), jalan negeri (137), lebuh raya (117) dan 50 kes lagi di jalan-jalan lain.

Sebanyak 11,344 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Ops Sikap ke-23 dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina bagi mendidik pengguna memandu secara berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan.

Operasi itu akan berakhir 10 Februari ini. - BERNAMA

Artikel Lain