suria

Tujuh Disyaki Pengedar Dadah Ditahan Di Ampang

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki yang disyaki pengedar dadah ditahan dan polis merampas dadah, barang berkaitan jenayah itu dan dua kereta yang kesemuanya bernilai lebih RM258,000 dalam satu operasi di Ampang di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kesemua lelaki berumur antara 21 hingga 39 tahun itu ditahan dalam tiga operasi berasingan hasil risikan dan maklumat orang awam.

"Dalam operasi pertama kira-kira pukul 2.30 petang, empat lelaki berumur antara 21 hingga 27 tahun ditahan di dalam sebuah pangsapuri di Pandan Jaya dan dadah jenis ketamin 311 gram dirampas.

"Turut dirampas 90 biji pil ecstacy, 130 biji pil eramin di mana kesemua rampasan bernilai RM20,200 dan sebuah kereta jenis Toyota Caldina," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata empat suspek ini bekerja sebagai buruh dan penjual cakera padat (CD) dan polis tidak menolak kemungkinan menjadikan pekerjaan menjual CD ini untuk menjalankan urusan pengedaran dadah.

Menurutnya dalam operasi kedua di kawasan yang sama beberapa jam selepas itu, seorang lagi suspek berumur 33 ditahan dan dadah seberat 512 gram bernilai RM25,600 dirampas.

"Suspek ini dipercayai mengedar dan menyimpan dadah menggunakan kotak minuman dan polisterin bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Amiruddin berkata manakala dalam operasi ketiga, dua lagi suspek berumur 24 dan 39 tahun ditahan di kawasan yang sama dan dadah jenis ketamin seberat 1,003 gram bernilai RM50,150 dirampas bersama sebuah Proton Waja.

Katanya polis percaya sindiket ini telah beroperasi sejak tiga bulan lepas dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 3 Feb ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain