suria

Polis Tahan Tiga Lelaki, Rampas Dadah Nilai Lebih RM100,000

IPOH: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Perak menahan tiga lelaki dan berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dadah dan merampas dadah bernilai lebih RM100,000 di daerah Kerian, awal Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata ketiga-tiga suspek berumur antara 39 hingga 42 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah malam tadi di sebuah rumah di Jalan Bagan Selatan, Tanjung Piandang, Kerian, 120km dari sini.

Katanya mereka ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian diketuai Asisten Supritendan (ASP) Frediel Anak Nyambong hasil maklumat risikan.

Zakaria berkata polis menemui satu bungkusan kertas yang di dalamnya mengandungi bahan dipercayai dadah 'heroin base' seberat 485gm, empat botol kaca berisi cecair yang dipercayai mengandungi bahan kimia untuk memproses dadah jenis heroin dan satu bungkusan plastik mengandungi serbuk putih dipercayai 'kafein' seberat 26kg.

Turut dirampas lain-lain perkakas seperti alat pengisar, penimbang, besin aluminium, besin plastik, sudip kayu, penapis plastik, tong gas dan dapur gas, katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Zakaria berkata kesemua suspek berasal dari Tanjung Piandang dan hasil siasatan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah pada 1997 dan 2005.

Mereka direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Beliau berkata nilai anggaran dadah yang dirampas lebih kurang RM36,000 yang boleh menampung 600 penagih dan berdasarkan rampasan berkenaan, dipercayai ia boleh menghasilkan 3kg dadah jenis heroin no 3 setelah diproses dan bernilai melebihi RM100,000.

Dipercayai sindiket berkenaan memasarkan dadah itu di kawasan Perak, Pulau Pinang dan Kedah. - BERNAMA

Artikel Lain