suria

Polis Sibu Tahan Dua Lelaki Disyaki Terbabit Dalam Lima Kes Penipuan

SIBU: Polis Sibu menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam pelbagai komplot di seluruh Sarawak, termasuk lima kes penipuan di sini, kata Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Shafie Ismail pada Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu, seorang berbangsa Cina berumur 40 tahun dari Sarikei dan seorang Iban berusia 45 tahun dari Debak, ditahan pada Rabu manakala anggota ketiga sindiket berkenaan, seorang lelaki berusia 50 tahun, masih bebas.

"Kami percaya jumlah keseluruhan dalam lima kes penipuan di Sibu sahaja mencecah RM41,000 dan lebih ramai lagi penduduk Sibu yang menjadi mangsa sindiket yang sama namun enggan melaporkan kepada polis untuk mendapatkan bantuan kerana malu, katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis Sibu di sini.

Beliau berkata sindiket itu juga bergiat aktif menjalankan operasi haram mereka di bahagian lain negeri ini seperti Kuching, Miri dan Bintulu.

Shafie berkata modus operandi sindiket itu menggunakan taktik yang sama untuk mencari mangsa iaitu menggunakan seorang anggota yang berbangsa Iban untuk mendekati mangsa dan mendakwa dia memenangi loteri RM200,000 tetapi tidak dapat menuntut wang hadiah disebabkan dia seorang warganegara Indonesia.

Dia kemudian memberitahu mangsa bahawa dia memerlukan seorang rakyat tempatan untuk menuntut wang hadiah bagi pihaknya tetapi meminta mereka memberi kepadanya maklumat seperti akaun bank dan buku bank mangsa, kata Shafie.

Dalam satu lagi komplot, beliau berkata anggota sindiket itu akan menyamar sebagai ejen insurans, ejen sewa beli tanah dan ada kalanya sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Mereka akan mendakwa kononnya mereka boleh menolong mangsa memohon elaun bulanan antara RM400 dan RM500 tetapi mangsa terlebih dahulu perlu membayar deposit untuk membuka akaun bank dan menjelaskan bayaran lain," katanya.

Beliau berkata kebanyakan mangsa adalah golongan tua dan miskin, terutamanya kalangan wanita daripada kaum Cina.

"Kedua-dua suspek akan direman tiga hari sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan polis," katanya sambil menambah polis turut menemui peralatan menghisap syabu di premis suspek dari Sarikei.

Dia dipercayai menagih dadah tetapi tiada dadah yang ditemui, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain