suria

Polis Sibu Rampas 6Kg Pil Ecstasy

SIBU: Polis Sibu berjaya melakukan rampasan dadah terbesar awal tahun ini berikutan rampasan kira-kira enam kilogram pil Ecstasy di Lapangan Terbang Sibu pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Shafie Ismail berkata lebih 17,000 pil Ecstasy dimuatkan dalam 12 paket plastik itu dianggarkan bernilai RM900,000 berdasarkan harga pasaran antara RM40 dan RM50 sebiji pil.

"Bahagian Narkotik yang membuat serbuan itu menemui pil berkenaan dalam sebuah beg milik seorang lelaki Cina berumur 30 tahun, selepas satu penerbangan dari Johor Baharu kira-kira pukul 8 malam pada Rabu lepas," katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Katanya suspek, seorang bujang dari Sibu, yang mempunyai rekod jenayah lampau pernah ditahan kerana penagihan dadah pada 2009 dan bekerja di Johor, akan direman lima hari sehingga Selasa untuk membantu siasatan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Shafie berkata siasatan sedang dilakukan sama ada dadah yang dirampas itu adalah untuk edaran di pasaran Sibu atau di seluruh Sarawak.

"Rampasan ini membolehkan polis menjejaki sindiket yang terlibat dalam pengedaran dadah jenis itu di Sibu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain