suria

Polis Kesan Dua Pelajar IPT Dipercayai Berkempen Di DUN Tenang

LABIS: Polis mengesan seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang dipercayai melibatkan diri dalam aktiviti berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata ketika disiasat, pelajar terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an itu sebaliknya menjelaskan dia sebenarnya menjalankan kajian melalui pengedaran borang kaji selidik.

"Perkara tersebut telah kita rujuk kepada Unit Pusat Universiti (UPU) yang dalam siasatannya berjaya mengesan seorang lagi pelajar yang melibatkan diri dalam aktiviti yang sama," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal Polis bagi pilihan raya tersebut, Jumaat.

Mokhtar bagaimanapun enggan mengulas parti yang disokong oleh kedua-dua pelajar terbabit dan IPT tempat mereka sedang menuntut.

Kedua-dua pelajar itu boleh didakwa mengikut Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) kerana menyatakan sokongan atau bersimpati dengan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya. Mokhtar juga mengulangi nasihat polis kepada pengundi agar tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada sesiapa sahaja menjelang hari mengundi Ahad ini.

Kata beliau, mereka juga tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi beramai-ramai kerana polis telah bersiap siaga untuk menjaga keselamatan mereka.

Selain itu, Mokhtar menasihati orang ramai agar berhemah dan mematuhi arahan polis ketika menggunakan kenderaan terutamanya ketika hujan demi menjamin keselamatan di jalan raya.

Dengan jumlah kenderaan yang meningkat berikutan kemasukan banyak pihak dari luar daerah Labis semasa pilihan raya tersebut, beliau menasihati pengguna supaya tidak meletakkan kenderaan mereka sembarangan agar tidak menghalang kelancaran lalu lintas terutamanya di pusat-pusat mengundi.

Sehingga hari ini, tiada insiden yang serius dilaporkan berlaku berkaitan kempen pilihan raya kecil itu. - BERNAMA

Artikel Lain