suria

Polis Buru Suspek Kes Penderaan Seksual Di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak

GEORGE TOWN: Pihak polis sedang mengesan seorang lagi suspek, budak lelaki berusia 13 tahun dipercayai terbabit kes penderaan seksual terhadap beberapa kanak-kanak di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di sini.

Ketua Polis George Town Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata polis mencari suspek, bekas penghuni rumah kanak-kanak itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Gan berkata pada masa ini pihak polis masih belum mengumpulkan bukti yang cukup untuk mendakwa individu terbabit di bawah Seksyen 377(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 kanun yang sama.

"(Walaubagaimanapun) kami berharap orang ramai tidak membuat spekulasi tentang kes ini kerana siasatan masih diteruskan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Terdahulu, polis telah menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dari Sungai Petani pada 15 Jan lepas untuk membantu siasatan kes itu tetapi telah dilepaskan.

Katanya dari alamat yang direkodkan terhadap suspek kedua, polis telah mencari rumah itu tetapi suspek telah berpindah.

"Kami percaya suspek berada Johor dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes ini untuk membuat laporan di mana-mana balai polis terdekat," katanya.

Bagaimanapun, katanya pihak polis menyerahkan siasatan berhubung pengurusan rumah perlindungan itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pada 12 Januari lepas, seorang peniaga wanita yang dikenali sebagai Lim membuat laporan polis mengesyaki berlaku penderaan seksual membabitkan 16 daripada 35 kanak-kanak yang tinggal di rumah perlindungan itu.

Laporan itu mendakwa sebahagian daripada kanak-kanak itu telah didera secara seksual, sodomi dan dicabul oleh kakitangan, ahli jawatankuasa dan sukarelawan rumah perlindungan itu. - BERNAMA

Artikel Lain