suria

Perdebatan Yang Paling Baik Ialah Di Parlimen, Kata Rais

KUALA KLAWANG: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata perdebatan yang paling baik dan sesuai ialah di Parlimen.

Banyak pihak membuat cadangan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan sebagainya supaya berdebat, tetapi katanya tempat yang paling bertepatan dan sesuai ialah di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

"Kalau di Dewan Negara, ia dianggap sebagai dewan yang kedua, tetapi peluang keemasan yang ada pada pembangkang ialah di Dewan Rakyat. Pembangkang harus menggunakan Dewan Rakyat ini sebagai tempat berbahas peringkat yang paling tinggi dan berkesan.

"Kalau berdebat di luar, ia hanya semata-mata untuk mencari publisiti dan ia tidak membawa kepada mana-mana keputusan. Tapi kalau di Dewan Rakyat, sesuatu isu itu akan dibahas dengan mendalam tetapi bukan menerusi emosi atau cara-cara gelagat yang merugikan," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Kumpulan Bloger-Bloger Bebas (KUBID) pada Khamis lepas menawarkan diri untuk menganjurkan satu debat antara kedua-dua calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim daripada Barisan Nasional (BN) dan calon PAS, Normala Sudirman.

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata di Dewan Rakyat setiap anggota Parlimen mesti berbahas secara berbudaya dan berhemah dan Dewan Rakyat adalah tempat yang paling baik dan sesuai untuk berbahas.

"Infrastruktur (Parlimen) ini telah disediakan dan kita mesti gunakan dengan sebaik mungkin.

"Misalnya di United Kingdom, mereka tidak berbahas di luar lagi. Tetapi kalau masa nak pilihan raya mungkin boleh diterima mana-mana perlawaan untuk berdebat di luar jika sekiranya dewan tidak bersidang.

"Apakah sebabnya di Amerika Syarikat, mereka berbahas di luar kongres? Sebabnya ialah masa itu kongres tidak bersidang. Tetapi di negara ini persidangan kita diadakan tidak kurang tiga musim dalam setahun maka ketua pembangkang atau pun ketua parti PAS dan juga PKR (Parti Keadilan Rakyat) boleh membawa sesuatu isu itu dan boleh dibahas.

"Jadi saya membuat rumusan bahawa kalau nak berbahas di luar Dewan Rakyat, itu adalah keinginan untuk mendapat liputan (publisiti) semata-mata, bukan secara serius untuk membawa kepada hasil yang boleh membantu bangsa negara Malaysia," katanya.

Pada majlis itu Rais turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM110,000 kepada 195 orang warga emas serta badan bukan kerajaan (NGO). - BERNAMA

Artikel Lain