suria

Penulis Buku Mengenai Memali Buat Laporan Polis

BALING: Seorang penulis buku membuat laporan polis pada Jumaat atas dakwaan diugut dan dikasari oleh pihak Lujnah Keselamatan PAS Kedah berikutan bukunya itu dikatakan telah mendedahkan penyelewengan mengenai pungutan derma kepada Tabung Memali.

Zainon Ismail, 54, yang menulis buku "Mat Sabu Air Mata di Bumi Memali" membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling kira-kira 3.30 petang tadi.

Beliau turut diiringi oleh lebih 50 orang yang dikatakan bekas mangsa dan anggota keluarga mangsa Peristiwa Memali yang berlaku pada 1985 di Mukim Siong di sini.

Zainon membuat laporan bahawa Lujnah Keselamatan PAS Kedah telah mengizinkan anggotanya mengambil tindakan kekerasan terhadap dirinya berikutan terbitnya buku tersebut.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau mencabar PAS Kedah supaya mendedahkan jumlah sebenar kutipan yang diterima daripada orang ramai terhadap tabung berkenaan yang ditubuhkan sejak kejadian Memali berlaku.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Md Hasan mengesahkan polis menerima laporan daripada penulis berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain