suria

Pelajar Malaysia Meninggal Dunia Dalam Kemalangan Jalan Raya Di Padang, Indonesia

BANDUNG: Seorang pelajar Malaysia jurusan kedoktoran Universiti Andalas Padang meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah motosikal lain di Padang, Sumatera Barat, Jumaat.

S. Yagneswaran, 24, dari Klang, dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah hospital tempat dia menjalani latihan amali apabila kemalangan berlaku, namun masa kejadian belum dapat dipastikan.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar yang dihubungi di sini berkata seorang rakan pelajar berkenaan yang membonceng motosikal Yagneswaran dilaporkan cuma mengalami kecederaan.

Pembonceng itu ialah seorang warga tempatan.

"Yagneswaran ialah pelajar persendirian Malaysia dalam bidang kedoktoran di tahun 4, Universiti Andalas. Akibat kemalangan itu beliau mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya sedang ditempatkan di Rumah Sakit M. Djamil, Padang," katanya.

Dr Junaidy berkata laporan yang lebih jelas mengenai kejadian itu akan hanya diketahui setelah pihaknya mendapat hasil siasatan daripada polis dan hospital.

"Keluarga pelajar telah dimaklumkan dan mereka akan berangkat ke Padang awal pagi esok," katanya.

Jabatan itu dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta turut menghantar pegawai ke Padang untuk membantu menguruskan penghantaran pulang mayat pelajar itu ke Malaysia, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain