suria

Pekerja Binaan Bunuh Suami Teman Wanita Dihantar Ke Tanjung Rambutan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membebaskan seorang pekerja binaan daripada tuduhan membunuh suami teman wanitanya setelah didapati tertuduh tidak waras.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin memerintahkan R. Govindaraj, 35, dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan sehingga mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Mohamad Zabidin berkata bahawa ketika kejadian Govindaraj gagal berfikir bahawa apa yang dilakukannya adalah salah di sisi undang-undang.

Mahkamah telah mendengar keterangan daripada 20 orang saksi pendakwaan manakala tertuduh dipanggil membela diri pada 22 April lepas.

Pihak pembelaan pula memanggil empat saksi termasuk Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak Dr Rabaiah Mohd Salleh.

Govindaraj didakwa membunuh K. Daruma Rajan, 44, seorang pekerja pembinaan, di rumah bernombor 1401, Kampung Sri Pakar, Salak Selatan di sini antara 9 malam 30 April 2007 dan 9 pagi keesokannya.

Sebelum keputusan itu, mahkamah sempat mendengar keterangan daripada Dr Rabaiah bahawa berdasarkan pemeriksaannya, beliau mendapati tertuduh mengalami tahap kecerdasan yang rendah dan mengalami 'post traumatic head injury'.

Katanya sepanjang tertuduh berada di hospital, pihaknya tidak dapat menentukan tahap kewarasan tertuduh semasa kejadian seperti yang didakwa kerana maklumat yang diperoleh adalah tidak konsisten dan tidak mencukupi untuk membantu pihaknya menilai kewarasan tertuduh.

Pendakwaaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib. - BERNAMA

Artikel Lain