suria

Konstabel Didakwa Cuba Datangkan Bencana Terhadap Ahli Perniagaan

PETALING JAYA: Setelah mengetahui waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret terhadapnya dua hari lepas, seorang anggota polis akhirnya menghadirkan diri ke mahkamah itu hari ini terhadap pertuduhan cuba mendatangkan bencana ke atas seorang ahli perniagaan dengan membuat tuduhan palsu.

Konstabel Norzali Rosle dari Balai Polis Kota Damansara didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 211 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Norzali, 25, yang kini digantung kerja, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat menyebabkan bencana kepada Chia Buang Hing, 35, apabila dengan palsunya menuduh Chia melakukan kesalahan memiliki dadah jenis heroin seberat 0.01 gram sedangkan tertuduh mengetahui bahawa tiada apa-apa alasan yang patut atau yang sah di sisi undang-undang bagi tuduhan itu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa terhadap pertuduhan sama iaitu menuduh Chia memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Kota Damansara, pada pukul 1 pagi dan 2.01 pagi, 19 Dis 2010.

Terdahulu, peguam bela Suraj Singh yang mewakili Norzali memohon maaf dengan ketidakhadiran anak guamnya itu pada hari sepatutnya dia diminta hadir ke mahkamah.

"Tertuduh merayu agar waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya dibatalkan oleh mahkamah," kata Suraj, sebelum mahkamah membatalkan waran itu.

Majistret Nor Afidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Feb ini untuk sebutan kes.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Amirah Mohamed Yusoff. - BERNAMA

Artikel Lain