suria

Kerajaan Umum Penstrukturan Tol Kurangkan Beban Rakyat

PUTRAJAYA: Kerajaan, pada Jumaat mengumumkan penstrukturan tol selepas semakan semula kos pengangkutan dilakukan sebagai satu cara mengurangkan bebanan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penstrukturan itu membabitkan tiada kenaikan tol untuk lima tahun akan datang bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

Katanya ia juga melibatkan penamatan konsesi tol untuk Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught di Kuala Lumpur, yang dijangka pada Mei tahun ini.

"Sejajar dengan semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, saya telah meminta para pemegang konsesi tol mengkaji semula struktur tol bagi konsesi masing-masing sebagai langkah membantu kerajaan memakmurkan negara dan mengurangkan bebanan rakyat.

"Menyahut seruan kerajaan ini, dua orang ahli korporat yang juga pemegang saham terbesar sebuah syarikat konsesi tol telah tampil mengemukakan satu cadangan penstrukturan tol melalui perolehan aset-aset konsesi yang akan memberi impak besar kepada rakyat," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor.

Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 ialah MTD Prime Sdn Bhd manakala syarikat konsesi Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught adalah Metramac Corporation Sdn Bhd.

Mengenai tiada kenaikan tol bagi dua lebuh raya berkenaan, Najib meminta supaya tempoh konsesi tidak dilanjutkan dan tiada pampasan diberikan oleh kerajaan bagi semakan tol yang tertunggak itu.

Bagi penamatan konsesi tol untuk Lebuhraya Hubungan Timur-Barat pula, beliau berkata ia adalah penutupan lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya iaitu pada 2018. Katanya langkah itu juga tidak membabitkan pemberian sebarang pampasan.

Perdana Menteri berkata inisiatif penutupan awal tol itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 39 juta pengguna lebuh raya tersebut.

Artikel Lain