suria

Kementerian Pengangkutan Akan Terus Usaha Baiki Perkhidmatan Bas

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan meneruskan usaha bagi menggalakkan penggunaan kemudahan pengangkutan awam terutama bas di Lembah Klang pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha mengakui sasaran penggunaan perkhidmatan itu bagi tahun lepas tidak tercapai sepenuhnya.

Katanya faktor muatan bagi 800 buah bas dengan kapasiti 50 hingga 60 penumpang yang disediakan bagi tahun lepas hanya mencecah 43 peratus berbanding sasaran 50 peratus yang ditetapkan.

"Terdapat beberapa faktor penyumbang kepada pencapaian itu dan terdapat juga faktor yang di luar kawalan kementerian," katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan 1Kementerian Pengangkutan di sini.

Katanya kedatangan bas yang tidak tetap berikutan kesesakan jalanraya telah menjejas kekerapan masa yang ditentukan dan secara tidak langsung menghakis keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan itu.

Oleh itu, katanya sebagai langkah penambahbaikan beberapa usaha akan dijalankan di mana antara lain pihak pengusaha bas akan menambah 400 buah bas lagi pada tahun ini bagi memperbaiki kekerapan masa.

Kementerian menyasarkan bilangan penumpang bagi pengangkutan bas sebanyak 56 peratus bagi tahun ini.

Kong juga berkata penambahan ruang pakir di tempat-tempat penyediaan pengangkutan awam turut akan dijalankan pada tahun ini.

Malah ketika ini katanya pihak kementerian sedang menilai tender bagi pembinaan ruang pakir di beberapa kawasan perkhidmatan pengangkutan awam seperti di Kajang, Serdang, Sungei Besi dan Bandar Tasek Selatan.

Namun katanya secara keseluruhan, terdapat peningkatan penggunaan pengangkutan awam rel dan bas di mana pada tahun lalu penggunaan telah meningkat kepada 17 peratus dari 12 peratus pada 2008.

Pengangkutan awam bandar terletak di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). - BERNAMA

Artikel Lain