suria

Dua Terbunuh Selepas Kereta Bertembung Dengan Treler Di Manjung

IPOH: Dua terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan beras di Km9 Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Manjung tengah malam Khamis.

Ketua Polis Trafik Negeri Wan Abdullah Ishak berkata yang terbunuh ialah pemandu kereta Mohd Shahrul Mohd Saad, 34, yang berasal dari Taman Setia Maju, Yan, Kedah dan penumpangnya Norzawani Mohd Yunus, 27, yang berasal dari Taman Serojo, Bentung, Pahang.

"Kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah malam ketika kereta yang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Sitiawan itu bertembung dengan treler dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Katanya kedua-dua pemandu dan penumpang kereta yang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka sudah dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada treler itu yang dikatakan gagal dikawal, menyebabkan ia memasuki laluan kanan dan bertembung dengan kereta Proton Perdana yang dipandu Shahrul.

Pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan membuat laporan polis.

Mohd Shahrul bekerja di agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia, Lumut, manakala Norzawani bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Institut Aminuddin Baki, Pahang. - BERNAMA

Artikel Lain