suria

Wacana Interlok Di UM Dapat Sambutan Hangat

KUALA LUMPUR: Wacana novel kontroversi "Interlok" anjuran Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya Berhad (KKUM) mendapat sambutan hangat bukan sahaja daripada penuntut universiti tetapi juga anggota MIC.

Exco Pemuda MIC Kebangsaan Uthaya Sankar SB, yang turut mengambil bahagian dalam dialog tersebut bersama wakil guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) tetap mempertahankan pendirian parti itu yang mahu novel tersebut ditarik balik sebagai buku teks Kesusasteraan Bahasa Melayu Tingkatan Lima.

" Kalau mahu novel ini dikekalkan sebagai teks wajib Tingkatan Lima, ia perlu dimurnikan. Jika buang perkataan itu (paria) ia tetap tidak akan menjejaskan kandungan cerita novel Interlok," katanya semasa wacana buku itu di sini hari ini.

Bagaimanapun tiga lagi anggota panel wacana itu yang terdiri daripada wakil guru Abdul Ghalib Yunos, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan dan Setiausaha Gapena Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan mahu novel itu dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

Abdul Ghalib berkata, pemilihan novel itu sebagai teks wajib Komponen Sastera (Komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar Tingkatan Lima adalah tepat kerana ia menerapkan nilai-nilai murni serta sesuai dengan konsep 1Malaysia.

"Novel ini sangat bagus kerana ia menceritakan realiti keadaan latar masyarakat Malaysia pada zaman sebelum merdeka di samping mengandungi mesej-mesej yang amat bermakna," katanya

Mohamad Ali yang bersetuju dengan pandangan Abdul Ghalib berkata novel itu juga sarat dengan nilai-nilai positif yang boleh memotivasikan pelajar, ibu bapa dan masyarakat yang hidup dalam masyarakat pelbagai kaum.

Dialog yang diadakan selama dua jam mulai 2 petang itu turut dihadiri bekas Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaya dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain