suria

Robert Phang Akhirnya Letak Jawatan Anggota Panel SPRM

PETALING JAYA: Tokoh kontroversi, Tan Sri Robert Phang melepaskan jawatannya sebagai anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa serta merta.

Keputusannya itu muncul tidak sampai 24 jam selepas SPRM membenarkan Phang terus menjadi anggota panel berkenaan sehingga tamat tempoh keanggotaan penggal pertamanya pada 24 Februari depan.

Menurut Phang, beliau mengambil keputusan itu demi integriti dirinya dan juga SPRM.

Pada Rabu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan keputusan untuk mengekalkan Phang dicapai secara sebulat suara oleh seluruh anggota jawatankuasa yang dianggotai oleh Phang dalam satu mesyuarat yang diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Ramon Navaratnam.

Phang sebelum ini memohon pelepasan selaku anggota panel berkenaan bagi membolehkan SPRM menyiasat secara bebas dakwaan rasuah yang membabitkannya sebagaimana yang hangat diperkatakan oleh beberapa blog akhir-akhir ini.

Sebuah blog mendakwa Phang telah cuba memberi rasuah kepada seorang ketua setiausaha sebuah kementerian tahun lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Lain