suria

PRK TENANG: Kempen Telah Mendekatkan Dirinya Dengan Rakyat - Calon BN

LABIS: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berharap sokongan positif pengundi kepada BN dapat diterjemahkan pada hari pengundian pilihan raya itu Ahad ini.

Beliau berkata, sepanjang kempen yang memasuki hari keenam hari ini, pengundi pelbagai kaum yang ditemui di kawasan DUN itu menunjukkan sokongan positif.

"Terjemahkanlah sokongan pada diri saya dan Barisan Nasional (BN) itu pada 30 Januari ini (Ahad)," katanya kepada pemberita semasa menemui penduduk Ladang Bukit Dato di sini, hari ini.

Ketibaan Mohd Azahar yang diiringi isteri Tuty Roshizana Tumin disambut mesra oleh penduduk yang majoritinya kaum India yang pada ketika itu mereka sedang menyertai Sukaneka Belia 1Malaysia 2011 di padang permainan ladang tersebut.

Dalam kesibukan beliau berkempen itu, Mohd Azahar sempat meluangkan masa menyertai penduduk di situ bagi acara lawan tarik tali sekaligus memeriahkan sukaneka tersebut.

Ditanya apakah perubahan yang berlaku terhadap diri beliau berikutan kesibukannya berkempen, bekas penolong pentadbir tanah daerah Kecil Rengit, Batu Pahat itu berkata pilihan raya ini menjadikan beliau lebih mesra kepada rakyat.

Beliau yang setiap hari mula turun berkempen pada jam 6.30 pagi, hanya mampu tidur tidak lebih dari empat jam sehari.

Ditanya perancangannya jika dipilih sebagai wakil rakyat, beliau berkata akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh penduduk di DUN Tenang dan apa sahaja masalah mereka akan cuba diselesaikan.

Seorang penduduk awal ladang tersebut, R.Ponnusamy, 78, yang terkejut bercampur gembira dapat bersua muka dan bermesra dengan Azahar, berharap calon BN yang juga dikenali dengan panggilan "Tok Ai" dapat membawa lebih pembangunan di kawasan ladang tersebut.

"Saya sudah tinggal di sini lebih 31 tahun, Barisan Nasional sudah banyak tolong menyediakan kemudahan kepada kami di sini," katanya yang ketika beliau datang dulu pokok getah di sekeliling kawasan perumahan ladang itu, masih kecil.

Penolong Pengurus Ladang Bukit Dato, A.Saravana Kumar berkata ladang itu sudah dilengkapi dengan kemudahan asas seperti sekolah, bekalan air dan elektrik, bagaimanapun penduduk memohon supaya jalan tanah merah yang menghubungkan kawasan rumah ladang dan pekan Tenang Station sejauh kira-kira 7 km, dapat diturap.

Pilihan raya kecil pada 30 Januari ini akan menyaksikan pertandingan antara Mohd Azahar, 39, dan lawannya daripada PAS, Normala Sudirman, 38 berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha daripada BN pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain