Penempatan 1,950 Graduan Ijazah Perguruan IPGM Diketahui 1 Feb Ini - Semasa | mStar

Penempatan 1,950 Graduan Ijazah Perguruan IPGM Diketahui 1 Feb Ini

LABIS: Seramai 1,950 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan daripada Institut Pendidikan Perguruan Malaysia boleh melapor diri di sekolah-sekolah yang ditetapkan pada 7 Feb ini selepas urusan penempatan tempat mereka mengajar diselesaikan sebelum akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyelesaikan urusan pengiktirafan mereka semalam dan Jabatan Pelajaran Malaysia (JPM) sedang dalam proses menguruskan penempatan mereka.

"Semalam Bahagian Pengurusan Sekolah Kementerian Pelajaran telah terima surat daripada MQA memaklumkan pengiktirafan itu dan mereka telah terus memaklumkan kepada JPM bagi menguruskan di mana graduan PISMP akan dihantar mengajar.

"Graduan boleh menyemak portal JPM mulai 1 Feb untuk mengetahui di mana mereka akan ditempatkan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini.

Wee berkata 1,950 graduan terbabit merupakan kumpulan perintis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPGM yang mengambil masa selama lima setengah tahun, termasuk satu setengah tahun kursus pra-universiti.

Mereka menamatkan pengajian akhir mereka di IPGM, yang dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan akhir tahun lalu.

Beliau berkata masalah tidak timbul melibatkan graduan lepasan PISMP daripada universiti tempatan memandangkan pengajian mereka tamat pada bulan Ogos atau September setiap tahun dan MQA mempunyai masa sehingga empat bulan untuk menguruskan pengiktirafan terbabit.

"Ini merupakan kes yang unik selepas kita meminda undang-undang sedia ada bagi membolehkan IPGM menawarkan PISMP enam tahun lalu dan mereka ini merupakan kumpulan pertama yang tamat pengajian akhir tahun lalu. Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan urusan penempatan mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang akan mempolitikkan isu terbabit.

Dalam sidang media yang sama, Wee turut menafikan terdapat usaha oleh Kementerian Pelajaran untuk menyatukan kelas-kelas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) apabila murid kurang daripada 35 bagi satu kelas.

"Saya telah mendapat laporan, kecuali sekolah-sekolah yang mendapat kebenaran JPM untuk pecah dua kelas. Apa yang berlaku adalah ada yang tak sampai 35, tetapi nak pecah juga dan pihak sekolah tidak mendapat kebenaran JPM terlebih dahulu. Ini menyebabkan mereka diarahkan dicantumkan semula," katanya.

Mengenai permintaan daripada pertubuhan-pertubuhan Cina di Labis dan Segamat untuk kerajaan membuka semula Sekolah Menengah Persendirian Cina Seg Hwa yang ditutup pada 1960, Wee berkata perkara itu sedang dikendalikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

"Timbalan Perdana Menteri akan berbincang dengan presiden MCA untuk mencari jalan penyelesaian. Ia merupakan satu proses yang berterusan. Kita perlu membuat kajian teliti dan perlu melihat daripada pelbagai sudut.

"Kita tidak mahu apabila sekolah ini dibuka, sekolah menengah persendirian lain diketepi disebabkan kekurangan pelajar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

Artikel Lain