suria

Mesin Cetak DVD, VCD Haram Bernilai RM6 Juta Dirampas

PORT DICKSON: Dua mesin mencetak VCD dan DVD haram bernilai RM6 juta dirampas dalam serbuan pasukan petugas khas Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sebuah premis di taman perindustrian D'Ambang di sini, Rabu.

Dalam serbuan pada tengah hari itu, pihak penguatkuasa turut menahan tiga pekerja rakyat tempatan berusia antara 21 dan 65 tahun.

Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNKK dari Putrajaya, Fahmi Kassim berkata, serbuan dibuat hasil risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas.

"Kedudukan kilang mereka tersorok dan mereka memasang kamera keselamatan. Kilang itu hanya aktif selepas pukul 7 petang dan kerja mencetak VCD dan DVD hanya dibuat pada sebelah malam.

"Ketika serbuan, mesin cetakan sedang dipanaskan," katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

Beliau berkata, kilang terbabit tidak menyimpan produk yang dihasilkan dan semua DVD dan VCD haram yang dicetak di kilang itu akan terus dihantar kepada pelanggan.

Fahmi berkata, kilang yang berkeupayaan mencetak 10,000 keping VCD dan DVD haram sehari itu juga mempunyai mesin pemusnah VCD dan DVD untuk memusnahkan produk yang rosak.

"Kami akan siasat pemilik kilang ini. Dia tidak akan terlepas kerana kami akan cari nama yang didaftarkan melalui bil air, elektrik, tanah dan sewaan bangunan," katanya.

Beliau berkata, tiga pekerja yang ditahan itu akan didakwa mengikut Akta Cakera Optik yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau tiga tahun penjara.

Kilang terbabit hanya mencetak filem semasa yang mempunyai permintaan tinggi dan hasil pemeriksaan ketika serbuan dibuat mendapati dokumen kilang itu yang mencatat cetakan yang banyak ke atas filem Melayu seperti Ngangkung dan filem Hollywood seperti Unstoppable, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain