suria

Mahkamah Tolak Rayuan Lima Bekas Pelajar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Khamis, menolak rayuan berhubung sabitan ke atas lima bekas pelajar universiti yang didapati bersalah dan didenda kerana berada dalam satu perhimpunan haram di Masjid Negara 10 tahun lalu.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan kelima-lima mereka tiada merit dan beliau mengekalkan hukuman denda RM3,900 atau tiga bulan penjara seperti yang diputuskan Mahkamah Majistret pada 2009.

Lima bekas pelajar tersebut ialah Nik Norhafizi Nik Ibrahim, 31, dan Ahmad Kamal Abdul Hamid, 30, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zulkefle Idris, 31 (Universiti Teknologi Malaysia), Rafzan Ramli 34, (Universiti Teknologi Mara) dan Khairul Amal Mahmud, 30 (Universiti Malaya).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 kerana berada dalam perhimpunan anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di perkarangan Masjid Negara, Jalan Perdana di sini, antara pukul 2 petang dan 2.15 petang, 8 Jun 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara setahun atau didenda RM10,000, mengikut akta yang sama. Dalam penghakimannya Su berkata mengikut rekod perbicaraan terdahulu ketika kejadian kelima-lima tertuduh jelas berada dalam kawasan awam dan kehadiran mereka di situ melebihi tiga orang serta enggan mengikut arahan polis.

Sepanjang prosiding hari ini hanya Rafzan Ramli yang hadir. Kesemua tertuduh diwakili peguam Edmond Bond manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff.

Pada perbicaraan lalu di Mahkamah Majistret seramai 13 saksi pendakwaan dan 11 saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain