suria

K'jaan Rancang Perketat Tindakan Tangani Isu Ulat Di KLIA

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merancang tindakan dan langkah lebih tegas bagi menangani masalah "ulat-ulat" teksi haram di Lapangan Terbang KL di Sepang (KLIA) dengan lebih berkesan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata kerajaan akan melihat kepada beberapa kaedah termasuk penguatkuasaan lebih ketat dan meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai dan pelancong.

"Meskipun penguatkuasaan dilakukan berterusan, saya telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengkaji isu ini dan mengemukakan cadangan mengenai kaedah lebih berkesan bagi menangani dan membasmi ulat-ulat dari KLIA dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Kong berkata Kabinet berasa bimbang dengan kesan kehadiran ulat-ulat ini yang menjejaskan imej negara di kalangan pelancong.

Terdapat juga beberapa laporan kes pelancong ditipu ulat-ulat ini, katanya.

Pada masa ini, JPJ menempatkan beberapa penguatkuasa di jalan keluar utama dari KLIA ke bandar raya untuk menahan para pemandu yang menyediakan perkhidmatan teksi haram, manakala MAHB memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenal pasti ulat-ulat berkenaan, katanya.

"Meskipun kehadiran penguatkuasa JPJ ini berkesan, kami berharap untuk mengambil satu penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain