suria

Guna Kanak-Kanak Lakukan Jualan

SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak bawah umur yang disyaki dieksploitasi oleh sebuah pertubuhan untuk melakukan jualan amal di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sekitar Seremban dan Nilai, ketika diserbu anggota polis di markas pertubuhan itu, di Ambang Kota Lukut, Port Dickson, 26 Januari. - Foto UTUSAN/ABD RAZAK AID
SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak bawah umur yang disyaki dieksploitasi oleh sebuah pertubuhan untuk melakukan jualan amal di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sekitar Seremban dan Nilai, ketika diserbu anggota polis di markas pertubuhan itu, di Ambang Kota Lukut, Port Dickson, 26 Januari. - Foto UTUSAN/ABD RAZAK AID
SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak bawah umur yang disyaki dieksploitasi oleh sebuah pertubuhan untuk melakukan jualan amal di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sekitar Seremban dan Nilai, ketika diserbu anggota polis di markas pertubuhan itu, di Ambang Kota Lukut, Port Dickson, 26 Januari. - Foto UTUSAN/ABD RAZAK AID

TELUK KEMANG: Seorang penyelia dan tiga tenaga pengajar sebuah pertubuhan di sini ditahan pihak berkuasa pada Rabu kerana disyaki menggunakan kanak- kanak bawah umur untuk melakukan jualan amal di negeri ini termasuk di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban dan Nilai.

Mereka dalam lingkungan usia 40-an ditahan dalam pemeriksaan di premis itu di Chuah dekat sini oleh Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis serta penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Jurucakap JHEAINS memberitahu, pemeriksaan dilakukan selepas banyak aduan diterima berhubung penglibatan kanak-kanak itu yang mengutip derma untuk pertubuhan berkenaan sehingga lewat malam.

"Penyelia itu merupakan ketua bagi zon selatan manakala tiga tenaga pengajar itu mendakwa diri mereka sebagai ustaz yang mengajar kanak-kanak dalam bangunan pertubuhan terbabit," katanya ketika ditemui di Balai Polis Lukut di sini pada Rabu, lapor Utusan Malaysia.

Kumpulan berkenaan menempatkan lebih 83 remaja berusia antara 10 hingga 18 tahun dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan sejak sekian lama dan mengeksploitasi mereka atas alasan ia kurikulum berkonsepkan keusahawanan.

Menurut jurucakap itu, hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu dibawa ke beberapa lokasi sekitar Port Dickson, Seremban, Nilai dan tempat lain untuk menjual barang yang didakwa untuk mengumpul dana.

"Mereka mendakwa penempatan dalam blok bangunan di Ambang Kota, Lukut hanya sebagai transit bagi pelajar yang datang dari pusat tahfiz, Kedah kononnya untuk melahirkan pelajar mahir dalam perniagaan.

"Siasatan mendapati kanak-kanak itu akan duduk di pusat ini untuk dua hingga tiga hari dan mengikuti kurikulum pusat tahfiz berkenaan seperti menjual barang yang akhirnya didapati bagi mengumpul dana pertubuhan itu," katanya.

Bagaimanapun katanya, melalui pemeriksaan yang dilakukan di beberapa lot premis dalam bangunan terbabit, rata-rata kanak-kanak di situ menetap untuk satu tempoh yang lama dan menjalankan aktiviti jualan amal dan kebajikan pada sebelah petang hingga malam.

"Ada di antara mereka tidak rela melakukan tugas itu dan mahu meneruskan pelajaran secara normal. Rata-rata kanak-kanak ini adalah anak yatim dan daripada keluarga susah," ujarnya.

Jurucakap itu menjelaskan, kesemua mereka akan disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah iaitu mengajar tanpa tauliah serta mewujudkan kelas agama yang tidak didaftarkan di bawah JHEAINS.

Difahamkan, MPPD telah mengeluarkan lima notis kepada pusat itu sebelum ini melibatkan kesalahan pengubahsuaian struktur premis tanpa kelulusan.

"Pemeriksaan ini adalah untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan agar mereka diberi didikan yang betul dan sempurna selain mendiami premis yang selesa bagi pengembangan minda," katanya.

Tambah jurucakap itu, pihaknya juga akan memantau kegiatan yang dilakukan di pusat berkenaan lebih-lebih lagi ia mempunyai modus operandi yang sama dengan kumpulan yang diharamkan, Al-Arqam.

"Terdapat lebih lima kakitangan pusat berkenaan di lokasi terbabit dan terdapat juga sebuah 'Pusat Rawatan Cinta' yang melakukan rawatan bekam dan urut yang sedang diubah suai dalam salah satu bahagian di premis berkenaan," katanya.

Sementara itu beberapa pelajar yang ditemui mereka mendakwa akan keluar menaiki kenderaan mengikut jadual yang ditetapkan warden dan penyelia.

"Pelajar berusia 18 tahun akan keluar selepas waktu Zuhur manakala bawah 15 tahun akan menaiki kenderaan lain selepas solat Asar untuk menjual kalendar, kismis, herba dan minyak angin setiap hari.

"Jadual kami disediakan warden dan penyelia. Kami pergi ke banyak lokasi dan biasanya tempat tumpuan orang ramai. Kami akan balik pukul 10 malam dan kutipan ini untuk mengumpul dana dan membantu pusat ini termasuk membiayai makan dan minum pelajar," kata seorang pelajar.

Artikel Sebelum

Artikel Lain