suria

BN Dahului Sokongan Di Tenang

LABIS: Hujan turun di sekitar Labis sejak beberapa hari lalu, kadang-kala lebat dan kadang-kala renyai.

Sama seperti dengan keadaan cuacanya, sokongan kepada parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang Ahad ini juga tidak menentu.

Kadang-kala naik dan kadang-kala menurun. Namun secara keseluruhan Barisan Nasional (BN) yang meletakkan Mohd Azahar Ibrahim sebagai calon dilihat masih mendahului dalam meraih sokongan pengundi terutama di kawasan yang majoritinya merupakan penduduk Melayu.

Sebaliknya pihak pembangkang menerusi pakatan PAS-DAP-PKR yang meletakkan pula calon wanita dari PAS, Normala Sudirman dilihat masih sukar untuk menembusi kawasan yang majoritinya merupakan penduduk Melayu seperti di Felda Chemplak Barat, Felda Chemplak dan Felda Tenang.

Keadaan ini berlaku walaupun jentera pilihan raya pembangkang dilihat tersusun dan kempen mereka ditumpukan khusus bagi menarik sokongan generasi kedua dan ketiga dari kalangan anak-anak peneroka Felda.

Dalam pilihan raya umum lalu, sokongan kepada BN di kawasan Felda seperti di Tenang adalah padu iaitu sekitar 98.5 peratus berbanding dengan sokongan yang diberikan kepada PAS iaitu sekitar 20.4 peratus sahaja, sementara di Chemplak Barat calon PAS memperolehi sokongan 18.6 peratus dan 18.7 peratus di Chemplak.

Di kawasan lain di mana orang Melayu mewakili 90 peratus daripada jumlah pengundi seperti di Kampung Rendong, Pekan Ayer Panas dan Sawah Baru, jumlah undi yang diraih oleh calon PAS hanya sekitar 18 hingga 32 peratus.

"Tidak mungkin kami boleh menang pilihan raya kecil ini. Apa yang dapat kami lakukan ialah untuk mengekalkan tahap undi popular yang kami perolehi pada 2008.

"Ini harapan terbaik kami," kata seorang pemimpin kanan PAS. Keadaan yang sama berlaku di kawasan yang majoriti penduduknya adalah masyarakat India, pembangkang dilihat sukar memperolehi undi tambahan di kawasan ini, yang disifatkan oleh beberapa pemimpin tempatan "lebih sukar daripada semasa pilihan raya umum".

"Kami melihat tidak mungkin kami mendapat lebih banyak sokongan berbanding 2008. Nampak macam pengundi India telah beralih menyokong BN. Kami terpaksa merebut setiap undi yang ada," kata pula pemimpin akar umbi PKR.

Dalam pilihan raya umum 2008, BN memperolehi 67.9 peratus undi di Ladang Bukit Dato di mana 46.6 peratus pengundinya adalah pengundi Inia, tetapi di Ladang Labis Utara pula yang diwakili 71.7 peratus pengundi India, kedua-dua pihak berkongsi undi sebanyak 50 peratus.

Berdasarkan keadaan demikian, kini kawasan yang majoritinya mempunyai penduduk Cina seperti di Labis Timur, Labis Tengah dan Tenang Station menjadi tumpuan BN dan pembangkang untuk meraih undi.

BN dan pembangkang kini dilihat sama-sama meningkatkan tumpuan mereka di kawasan-kawasan ini.

Secara kasar, jumlah yang menghadiri ceramah DAP pada setiap malam di Tenang Station dan Labis Tengah dilihat bertambah. Namun ramai yang berpendapat ia hanya disebabkan oleh orang ramai sekadar mahu mendengar apa yang dihujahkan oleh pemimpin-pemimpin atasan parti tersebut.

Tidak kurang juga yang melihat bahawa dengan jumlah sumbangan yang banyak yang dimasukkan ke dalam kotak-kotak derma pada setiap malam ceramah DAP, secara tidak langsung menunjukkan pengundi Cina telah menetapkan calon pilihan mereka.

Sesetengah orang berpendapat bahawa jumlah undi daripada pengundi Cina kepada BN mungkin merosot kepada bawah 30 peratus malah bawah 25 peratus, berikutan beberapa isu yang dimainkan pihak pembangkang seperti kenaikan tarif air dan sekolah persendirian Cina.

Namun bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng keadaan dilihatnya masih sukar walaupun pembangkang jelas mendapat sokongan pengundi Cina pada pilihan raya umum lepas.

"Pada dasarnya pengundi telah menetapkan sokongan mereka. Kami kini hanya perlu meraih kira-kira 20 peratus undi dari pihak `atas pagar'. Kami perlu merebut setiap undi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain