suria

Bekas Banduan Didakwa Edar Heroin

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas banduan pada Khamis, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis heroin.

Abdul Jalal Daud, 56 tahun yang berasal dari Kampung Alor Peroi, Kuala Besut didakwa mengedar kira-kira 46.32 gram heroin di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, di sini pada pukul 6 petang 13 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Abdul Jalal didakwa mengedar heroin seberat 50.63 gram kira-kira pukul 6.30 petang di hadapan pejabat narkotik Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu pada hari yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Sekyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan.

Tiada pengakuan dibuat tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan.

Majistret Nor Azizah Yusof menetapkan 28 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang merupakan seorang penagih tegar pernah menjalani hukuman penjara 34 tahun dan pernah dikenakan 16 kali sebatan berkaitan dadah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain