suria

Tribunal Tuntutan Pengguna Arahkan Agensi Pekerja Asing Pulangkan Wang Pelanggan

GEORGE TOWN: Tribunal Tuntutan Pengguna yang bersidang di sini, Rabu telah mengarahkan sebuah agensi pekerja asing memulangkan semula wang berjumlah RM8,700 kepada seorang pengurus jualan di atas kegagalannya menggantikan pembantu rumah kepada pelanggannya itu.

Presiden Tribunal, Maznah Haron mengarahkan Agensi Pekerjaan ANB Sdn Bhd untuk memulangkan semula wang kepada Lim Soon Hin, 32, sepenuhnya dalam tempoh 14 hari.

Lim pada April tahun lalu telah pergi ke agensi berkenaan untuk mendapatkan khidmat seorang pembantu rumah.

Selepas membuat bayaran penuh, agensi berkenaan telah menyediakan seorang pembantu rumah pada bulan Mei.

Bagaimanapun Lim mendapati, pembantu rumah yang disediakan oleh agensi berkenaan secara fizikalnya sangat lemah dan tidak dapat mencangkung untuk melakukan kerja-kerja rumah.

Selepas melalui proses percubaan selama seminggu, Lim terpaksa memulangkan semula pembantu rumah berkenaan kepada agensi berkenaan dan menuntut seorang penganti yang baru.

Namun begitu, dia mendakwa selepas menunggu selama sebulan, dia telah dimaklumkan oleh agensi berkenaan bahawa mereka tidak dapat memberikan penganti kerana tidak ada pembantu rumah yang baru yang dapat disediakan.

Lim berkata, dia kemudiannya menuntut agar wangnya dikembalikan sepenuhnya tetapi permintaannya itu enggan dipenuhi oleh agensi berkenaan.

Sementara itu dalam satu kes yang berasingan, sebuah syarikat menjual telefon bimbit telah diarahkan supaya memulangkan semula wang kepada pelanggannya berjumlah RM1,899 yang telah membeli sebuah telefon bimbit Nokia yang tidak dapat berfungsi.

Mohd Norhisyam Samsudin, 23, seorang juruteknik telah membeli telefon berkenaan pada 16 Oktober tahun lalu daripada Northern Point Cellular Accessories, tetapi selepas enam hari, telefon berkenaan tidak dapat berfungsi.

Dia kembali ke kedai berkenaan dan menuntut agar digantikan dengan telefon yang baru tetapi sebaliknya dimaklumkan yang telefon berkenaan masih boleh dibaiki.

Selepas beberapa kali dibaiki, telefon tersebut masih lagi bermasalah dan dia telah membawa kes tersebut ke tribunal untuk mendapatkan semula wangnya.

Maznah telah mengarahkan syarikat berkenaan memulangkan semula wang kepada pelanggannya itu dalam tempoh 14 hari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain