suria

Tikam Bayi: Warga Myanmar Direman

PETALING JAYA: Seorang wanita warga Myanmar yang dipercayai menikam mati bayi perempuan yang baru dilahirkannya semalam ditahan reman polis selama 12 hari sehingga 7 Februari depan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek berumur 23 tahun itu sudah dihantar ke Hospital Klang bagi pemeriksaan kesihatan termasuk rawatan psikologi.

"Fail kertas siasatan kes akan diselesaikan dalam tempoh terdekat sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen "Safe Reunion" sempena sambutan Tahun Baru Cina oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Selangor di Sunway Pyramid di sini hari ini.

Bayi yang baru lahir itu ditemui mati berlumuran darah akibat ditikam beberapa kali di atas pelapik plastik dalam bilik air di sebuah rumah sewa di Batu 4, Kampung Jawa, Klang tengah hari semalam. Bayi itu dipercayai dilahirkan pada pukul 9 pagi.

Tun Hisan berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan suspek mencederakan mayat bayi itu namun siasatan masih lagi dijalankan.

Beliau menafikan laporan bahawa suami suspek telah ditahan kerana lelaki tersebut sudah meninggalkan suspek sejak lapan bulan lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain