suria

PRK Tenang: Wanita BN Nafi Tidak Sokong Calon BN Di Tenang

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) hari ini menafikan dakwaan kononnya Wanita UMNO Labis tidak menyokong calon BN, Mohd Azahar Ibrahim, bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sebaliknya jentera wanita BN, merangkumi UMNO, MCA dan MIC memberi sokongan padu kepada calon BN serta merupakan tulang belakang dalam memastikan kemenangan terus berpihak kepada BN.

"Jentera wanita BN berjalan dengan baik...Cuma kita ada dapati bahawa pihak pembangkang berusaha menggunakan taktik yang saya rasakan tidak berhemah dengan mengatakan bahawa Wanita UMNO Labis tidak menyokong calon, itu semua fitnah belaka.

"Malah, saya sentiasa minta kepada semua jentera BN apabila berkempen kita mesti ada keikhlasan dan berhemah...dan Alhamdulillah setakat ini dari maklum balas yang kita dapat jentera BN tidak menggunakan taktik kotor," katanya kepada pemberita selepas majlis Jalinan Kasih 1Malaysia Tahun Baru Cina 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran risalah yang mendakwa Wanita UMNO Labis tidak menyokong calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Tenang pada Ahad ini.

Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut menasihati pengundi kawasan tersebut supaya berfikir panjang sebelum memilih pemimpin yang mampu berkhidmat untuk mereka.

Dalam majlis anjuran Wanita BN itu, seramai 300 penerima bantuan dari golongan berpendapatan rendah berbangsa Cina sekitar Kuala Lumpur dan Selangor telah diberi ang pow, buah limau serta barang-barang keperluan harian.

Turut sama Timbalannya, Senator Heng Seai Kie dan Ketua Wanita MCA Datuk Yu Chok Tow.

Pilihan raya kecil DUN Tenang akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

BN akan diwakili oleh calonnya, Mohd Azahar manakala PAS pula akan diwakili oleh Ketua Muslimat Labis, Normala Sudirman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain