suria

PRK Tenang: Isu Lelong Tanah Urusan Pentadbiran – Tok Ai

LABIS: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azhar Ibrahim menolak dakwaan dirinya terlibat dalam kecuaian menguruskan tanah ketika menjawat jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit sehingga menyebabkan tanah seorang individu tempatan dilelong kepada pihak lain.

Azhar berkata, isu tersebut merupakan urusan pentadbiran semasa perkhidmatannya dengan kerajaan yang tiada kena mengena dengan dirinya.

“Kes berkenaan bukan ke atas individu tetapi atas kapasiti jawatan yang melibatkan agensi kerajaan dan pentadbiran terlibat. Pihak yang menguruskan kes tersebut di bawah tanggungjawab Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

“Perkara itu bukan jenayah tetapi sivil kerana dalam keadaan sekarang sesiapa sahaja boleh membuat pelbagai tuduhan yang menjejaskan imej saya,” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat media Jabatan Penerangan di Taman Sri Bayu di sini pada Rabu.

Ketika ditanya tentang kes pendengaran kes tersebut pada 7 Februari depan, Azahar menegaskan perkara tersebut hanya melibatkan pentadbiran yang terlibat.

“Saya hanya defendan bagi pihak kerajaan dan bukannya dituduh atas nama dalam kes tersebut,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan tidak terjejas dengan permainan dan serangan pihak pembangkang yang merupakan asam garam dalam politik terutama ketika kempen yang giat berlangsung kini.

“Saya juga menerima respon yang cukup baik daripada masyarakat dalam kempen dan segala-galanya masih berjalan lancar.

“Tumpuan utama saya seandainya menang kelak adalah untuk membangunkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Semalam PAS dalam sidang medianya menggesa Azahar menarik diri dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Tenang kerana bakal berdepan dengan satu tindakan saman.

Salahuddin mendakwa pada tahun 2003 ketika Azahar yang memegang jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat beliau telah didakwa melakukan kecuaian dalam menguruskan tanah seorang penduduk di Segamat telah menyebabkan tanah tersebut dilelong kepada pihak ketiga.

Pendengaran kes tersebut ditetapkan pada 7 Februari ini di Mahkamah Tinggi Muar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain