suria

Polis Tahan 15 Rakyat Iran, Rampas Syabu Bernilai RM15.7 Juta

KUALA LUMPUR: Polis menahan 15 rakyat Iran, dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah, dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dari 18 Jan hingga Ahad lepas.

Serbuan di beberapa kawasan kediaman turut menemui sebuah makmal mini memproses dadah, dan menghasilkan rampasan dadah jenis Methamphetamine atau syabu sebanyak 78.7 kilogram bernilai RM15.7 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, penahanan rakyat Iran berusia lingkungan 20 dan 40 tahun, termasuk dua wanita itu dibuat hasil pemantauan serta risikan berterusan polis selama lima bulan.

Beliau berkata, serbuan pertama di Ampang membawa kepada penahanan seorang lelaki dan rampasan syabu seberat 13 kilogram di sebuah kondominium yang dijadikan makmal mini bagi memproses dadah.

"Pada hari yang sama, polis juga menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai berperanan sebagai kurier sindiket bagi membawa masuk dadah ke negara ini melalui lapangan terbang," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Noor Rashid berkata pada Jumaat lepas, dua lelaki Iran ditahan sejurus tiba di lapangan terbang, dan sejumlah 174 kapsul dadah seberat 1.5 kilogram ditemui di dalam perut mereka.

Beliau berkata, pada hari yang sama, polis menyerbu sebuah rumah di Pandan Indah, Ampang dan menemui 984 gram dadah, yang kemudian membawa kepada penahanan tiga lelaki serta seorang wanita.

Ahad lepas, polis menahan dua lelaki di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya dekat sini, yang membawa kepada rampasan terbesar syabu sebanyak 63.19 kilogram di sebuah kondominium di Sentul.

"Polis turut menahan dua lagi lelaki Iran di kondominium itu, yang dijadikan stor simpanan dadah," katanya.

Noor Rashid berkata pada bulan ini, seramai 32 rakyat Iran ditahan berkaitan jenayah pengedaran dadah yang melibatkan rampasan syabu seberat 115.9 kilogram bernilai kira-kira RM23 juta.

"Kita percaya kemungkinan kesemua mereka merupakan anggota rangkaian sindiket yang sama, dan telah beroperasi lama di dalam negara, dengan tumpuan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

"Dadah itu diseludup dari negara luar dan diproses di negara ini berdasarkan penemuan makmal mini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain