suria

Polis Jamin Keselamatan Pengundi Di Tenang

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia memberi jaminan terhadap keselamatan pengundi semasa pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Labis Ahad ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Khalid Abu Bakar berkata PDRM telah bersedia dengan kekuatan anggota yang secukupnya bagi memastikan keselamatan pengundi berkenaan terjamin.

"Saya ingin menasihatkan kepada semua pengundi supaya tidak risau tentang keselamatan diri mereka kerana keselamatan akan sentiasa dikawal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Sikap ke-23 di Persada Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Rabu.

Beliau turut memberi amaran bahawa polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan perkara yang boleh menimbulkan kekacauan.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azahar Ibrahim dan calon PAS Normala Sudirman.

Ia diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha daripada BN pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain