suria

Kerajaan Terengganu Beri Pakaian Sekolah Kepada 106,000 Pelajar

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengagih-agihkan bantuan pakaian sekolah kepada 106,000 pelajar sekolah menengah dan rendah yang melibatkan peruntukan RM12 juta mulai bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, setiap pelajar yang pendapatan bulanan keluarga adalah kurang daripada RM1,200 juga akan menerima RM100.

"Satu keluarga boleh dapat bantuan maksimum dua orang, satu untuk pelajar sekolah menengah dan satu sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Ahmad berkata pengagihan bantuan itu, yang bertujuan meringankan beban ibu bapa, akan dibuat secara berperingkat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri.

Beliau juga berkata, 3,000 orang guru kelas Tahun Enam akan dibekalkan komputer riba oleh kerajaan negeri tidak lama lagi dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan rakyat celik IT.

Ia juga bertepatan dengan langkah Jabatan Pelajaran dan kerajaan negeri mengadakan program kelas maya di beberapa sekolah di Terengganu tidak lama lagi.

Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Paya Bunga yang dijadikan sekolah elit bandar raya, Sekolah Kebangsaan Seberang Takir dijenamakan sebagai sekolah siber dan Sekolah Kebangsaan Telok Kalong, Kemaman, sebagai sekolah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain