suria

Kematian Membabitkan Kemalangan Meningkat

PETALING JAYA: Jumlah kematian kerana kemalangan meningkat 1.9 peratus atau 127 kematian daripada 6,745 kematian pada 2009 kepada 6,872 kematian tahun lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, peningkatan kematian akibat kemalangan amat membimbangkan.

Pada tahun lepas daripada 6,260 kemalangan maut sebanyak 6,872 kematian dilaporkan berbanding 6,745 kematian direkodkan daripada 6,218 kemalangan maut pada 2009, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Sikap ke-23 di Persada Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan dan Pengerusi Plus Tan Sri Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Khalid berkata pada tahun lepas jumlah keseluruhan kemalangan 414,421 berbanding 397,330 kemalangan pada 2009.

Khalid berkata, pada operasi kali ini polis mensasarkan penurunan lima peratus kemalangan daripada 14,183 kemalangan yang berlaku semasa operasi perayaan Tahun Baru Cina tahun lepas, yang mencatatkan 201 kematian.

Operasi kali ini akan mengambil tindakan tegas terhadap pemanduan yang melebihi had laju dan tidak mematuhi isyarat lampu merah, selain kesalahan memotong garisan berkembar, memotong barisan serta menggunakan lorong kecemasan.

"Rondaan penguatkuasaan trafik dan sekatan jalan raya juga akan dipertingkatkan selain memberikan nasihat kepapa pesalah-pesalah trafik supaya mereka sentiasa berhemah dan berhati-hati," katanya.

Beliau berkata polis akan menggunakan 19 menara pemerhati polis untuk membuat pemantauan di jalan-jalan persekutuan dan lebuh raya.

"Orang ramai juga boleh melayari Facebook atau ke laman sesawang PDRM untuk melihat lokasi yang berbahaya di seluruh negara supaya orang ramai lebih berhati-hati apabila menggunakan jalan tersebut," katanya.

Ops Sikap kali ini akan diadakan bermula esok sehingga 10 Februari ini dengan kerjasama agensi kerajaan seperti JPJ, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta Plus. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain