suria

Hakim Foong Pengerusi Suruhanjaya Siasat Kematian Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor yang mayatnya ditemui selepas dia disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dua tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri berkata, suruhanjaya itu yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, dianggotai dua bekas hakim dan dua pakar forensik dan dibantu empat pegawai undang-undang.

Bekas hakim yang dilantik terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan manakala pakar forensik terdiri daripada Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai setiausaha suruhanjaya itu manakala Amarjeet Singh a/l Serjit Singh (Timbalan Ketua Bahagian Guaman I), Awang Armadajaya Awang Mahmud (Timbalan Pendakwa Raya) dan Kwan Li Sa (Timbalan Pendakwa Raya), dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.

Najib berkata, suruhanjaya itu akan juga menyiasat sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Suruhanjaya itu dikehendaki menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tauliah pelantikan dikeluarkan dan laporannya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Pada 5 Januari lepas Mahkamah Koroner di Shah Alam memutuskan bahawa kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Berikutan dengan keputusan Mahkamah Koroner itu, Najib pada 7 Januari mengumumkan penubuhan satu Suruhanjaya Diraja untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses siasatan terhadap Teoh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain