suria

Geng Curi Motosikal Tumpas

MARAN: Geng mencuri motosikal, dikenali sebagai "Geng Piramid" yang aktif sejak tahun lepas, tumpas apabila mereka tersilap langkah bertindak mencuri motosikal di kawasan perumahan polis di Temerloh.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabuddin berkata, penahanan sembilan anggota kumpulan itu dipercayai dapat menyelesaikan 18 kes mencuri motosikal yang dilaporkan di Pahang dan Selangor sejak setahun lepas.

Penangkapan suspek bermula apabila empat anggota kumpulan itu ditahan pada 8 Jan lepas selepas mencuri motosikal di kawasan perumahan polis di Temerloh.

"Penangkapan empat anggota kumpulan terbabit yang masing-masing berumur 18 tahun termasuk ketua mereka membawa kepada penangkapan lima lagi ahli kumpulan berumur 17 hingga 26 tahun di sekitar daerah ini," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Ahmad Johari berkata sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenai kejadian curi motosikal bergegas ke tempat kejadian di Perumahan Kakitangan Polis Temerloh Jaya dan berjaya menahan empat suspek kira-kira 11 malam.

"Polis kemudian menahan lima lagi lelaki dipercayai anggota kumpulan sama di sekitar daerah ini dalam operasi yang diadakan dari 8 Januari hingga 12 Januari lepas.

"Hasil soal siasat, suspek kemudian menunjukkan lokasi tempat mereka membuang rangka motosikal curi iaitu di Tasik Bukit Kebok berdekatan Kampung Sentosa dekat sini," katanya.

Ahmad Johari berkata berdasarkan maklumat itu, anggota polis marin daripada Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 3 Kemaman mula menyelam di tasik itu pada 18 Januari lepas.

"Hasilnya, polis menemui 18 rangka, tiga engin dan dua ekzos motosikal curi yang dibuang oleh suspek. Antara motosikal yang dikenal pasti adalah Yamaha 125Z, Yamaha RXZ, Yamaha SS, Honda EX5 dan Honda Wave," katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai bergiat aktif sejak tahun lepas dengan menumpukan kawasan masjid, tempat tumpuan orang ramai dan pusat beli-belah.

"Modus operandi kumpulan ini adalah meleraikan komponen motosikal untuk dijual sebelum melupuskan rangka motosikal dan lain-lain komponen ke dalam tasik.

"Mereka akan menjual komponen itu kepada pembeli di sekitar daerah ini dan menjalankan kegiatan curi pada waktu malam," katanya.

Ahmad Johari berkata, semua suspek ditahan reman sehingga Khamis untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain