suria

Di Sebalik Kempen Tenang, 100 Keluarga Dipindahkan Kerana Banjir

LABIS: Hujan lebat di sekitar Tenang sejak dua hari lalu telah menyebabkan banjir kilat melanda empat buah kampung di sini sehingga memaksa lebih 100 orang dipindahkan.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Lembah Bakti, Kampung Paya Merah, Kampung Air Panas dan Kampung Veeran dengan paras air mencecah paras pinggang.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim telah menyusun semula program kempennya yang padat dan telah meluangkan masa untuk melawat kawasan yang terjejas akibat banjir itu.

"Saya telah pun merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat agar bantuan dapat disegerakan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir ini," katanya ketika ditemui.

Calon PAS, Normala Sudirman juga tidak ketinggalan melawat mangsa-mangsa berhampiran Stesen Tenang.

Banjir di kawasan Tenang kerap berlaku pada musim tengkujuh dan biasanya berlaku tiga kali setahun. Menjelang jam 3 petang tadi, air telah meningkat sehingga ke paras pinggang.

Sementara itu, pihak polis, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Jabatan Parit dan Saliran akan bekerjasama dalam mengenalpasti kawasan manakah yang akan terjejas akibat banjir bagi memudahkan para pengundi keluar mengundi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, secara rasminya seramai 101 orang telah dipindahkan dari Kampung Ayer Panas dan Kampung Lembah Bakti.

"Buat masa ini mereka ditempatkan di dewan orang ramai Ayer Panas dan Lembah Bakti," katanya.

Mokhtar berkata, pusat mengundi tidak boleh diubah kerana ia adalah kawasan yang digazet mengikut undang-undang tetapi kita akan melihat langkah-langkah terbaik bagaimana untuk memudahkan perjalanan orang ramai dan juga proses pengundian itu nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain