suria

Dera Pembantu Rumah: Hukuman Penjara Ibu Tunggal Ditambah

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi di sini menambah hukuman penjara terhadapnya kepada 11 tahun berbanding lapan tahun sebelum ini, kerana mendera pembantu rumah sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Hau Yuan Tyng, 45, dan meminda tempoh hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen terhadap wanita itu pada 12 November lepas.

Hau yang berada di kandang tertuduh kelihatan sebak ketika mendengar keputusan itu.

Hau didapati bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap warga Indonesia Siti Hajar Sadli, 34, dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan oleh Hakim S.M.Komathy Suppiah.

Tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM5,000 kepada Siti Hajar, dan Hau diperintah menjalani hukuman itu serentak dengan hukuman pertama dan kedua.

Pada prosiding hari ini, Ghazali menjatuhi hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta setahun bagi pertuduhan ketiga, dan memerintahkan Hau menjalani kesemua hukuman itu secara berasingan.

Bagaimanapun, beliau membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap bekas pengurus operasi agensi pekerjaan itu ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan selesai, dan memerintahkan Hau membayar wang jaminan sebanyak RM25,000.

Dalam penghakimannya, Ghazali berkata Komathy tidak terkhilaf ketika mensabitkan Hau dan wanita itu gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan di dalam rayuannya.

"Mengenai hukuman, walaupun saya bersimpati dengan nasib perayu sebagai ibu tunggal serta mempunyai seorang anak yang cacat, dan terpaksa mencari nafkah untuk menyara anak-anaknya, tetapi saya lihat tiada sifat keinsafan oleh perayu mengenai apa yang telah beliau lakukan terhadap mangsa.

"Tiada di mana-mana di dalam rekod rayuan yang menunjukkan perayu memohon maaf kepada mangsa bagi menunjukkan keinsafan beliau. Kejadian mendera pembantu rumah pada masa ini, bukanlah satu perkara asing lagi.

"Pembantu rumah tidak sepatutnya dijadikan sebagai hamba. Mereka juga mempunyai perasaan dan memerlukan pembelaan, apatah lagi ia melibatkan hubungan baik antara dua negara jiran," katanya.

Terdahulu, Ghazali berkata berdasarkan keterangan perubatan dan kecederaan mangsa, mahkamah berpendapat ia tidak mungkin direka bagi meletakkan Hau dalam kesusahan.

"Alasan yang diberikan perayu bahawa mangsa ingin pulang ke Indonesia pada 2009 dan ugutan beliau (Siti Hajar) bagi membuat laporan polis, juga bukan alasan serta pembelaan yang wajar untuk mangsa mencederakan dirinya sendiri sehingga menyebabkan kecederaan parah," katanya.

Beliau juga berkata dakwaan Hau bahawa Siti Hajar melakukan gangguan seksual terhadap seorang anaknya adalah rekaan semata-mata. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain