suria

Akta Hasutan Masih Sah, Permohonan Uthayakumar Ditolak

KUALA LUMPUR: Akta Hasutan 1948 masih sah, relevan dan tidak boleh dipertikaikan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, Rabu.

Hakim Datuk Ghazali Cha berkata, hanya pihak berkuasa sahaja iaitu Parlimen mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang.

"Sehingga kini undang-undang tersebut tidak dibatalkan ataupun digubal (semula). Akta berkenaan masih sah dan relevan, di mana ia tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak," kata Ghazali dalam penghakimannya yang menolak permohonan peguam P. Uthayakumar untuk satu perintah bahawa akta itu tidak sah dan bercanggah dengan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ghazali juga menolak permohonan yang difailkan peguam berkenaan melalui notis usul untuk menggantung perbicaraannya ataupun membatalkan pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Sesyen mengikut Akta Hasutan.

Beliau, bagaimanapun, membenarkan permohonan peguam N. Surendran agar perbicaraan kes berkenaan ditangguhkan sementara Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuan yang akan dikemukakan oleh Uthayakumar terhadap keputusan hari ini.

Pada 17 Disember 2007, Uthayakumar, 49, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerbitkan satu surat berbau hasutan di laman web "Police Watch", antara 15 November dan 8 Disember 2008.

Beliau menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, yang jika disabitkan beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Hakim Ghazali berkata, beliau bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa sekiranya perkara tersebut dipertikaikan, ia boleh terjurus kepada anarki dan kacau-bilau.

Surendran memberitahu pemberita bahawa Uthayakumar akan memfailkan rayuan dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Melissa Mohd Akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain