suria

Penghantar Surat Miliki Nota Perlindungan Insuran Palsu Dihukum

SHAH ALAM: Gara-gara memiliki nota perlindungan insurans palsu, seorang penghantar surat yang mengalami kecacatan kekal dihukum penjara setahun dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Latifah Mohd Tahar turut memerintahkan supaya Mohd Abd Rahman Ahamad, 29, menjalani hukuman penjara selama 12 bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Latifah mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Mohd Abd Rahman didakwa atas tuduhan memiliki satu dokumen cagaran iaitu Nota Perlindungan Tahan Insurans Malaysia Berhad palsu di Taman Sri Gombak dekat sini, pukul 8.15 malam, 1 Julai 2004.

Bagaimanapun, Latifah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana berhasrat mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Beliau memerintahkan supaya jaminan tertuduh sebanyak RM8,000 ditambah menjadi RM10,000 bagi tujuan tersebut.

Pada prosiding sama, Latifah membebaskan Mohd Abd Rahman daripada tuduhan memiliki dua buah buku Nota Perlindungan AMI Insurance Berhad dan Tahan Insurance palsu di rumah nombor 9, Jalan TIB 2/6, Taman Industri Bolton, Batu Caves, dekat sini pada pukul 8.30 malam, 1 Julai 2004.

Tertuduh yang merupakan bapa kepada dua orang anak berusia 3 tahun dan 3 bulan itu juga dibebaskan daripada pertuduhan menipu penjual kereta terpakai, Zakaria Abu Zarin pada antara Mei dan Jun 2004 di N.Z Wawasan Sdn Bhd, Lot 356, Jalan Kampung Bandar Dalam, Sentul Pasar dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menyebabkan Zakaria mempercayai dua keping Nota Perlindungan Tahan Insurans Malaysia Berhad yang dijualnya sebagai tulen sehingga mendorong dia menyerahkan sejumlah wang tunai kepadanya.

Mohd Abd Rahman diwakili peguam-peguam Hasshahari Johari Mawi dan Mohamed Nizam Esa manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh. Hasshahari merayu mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara, sebaliknya mengenakan tertuduh bon berkelakuan baik.

“Mahkamah juga boleh memberi syarat terhadap tertuduh seperti membuat khidmat masyarakat kepada tertuduh.

“Pada 16 September 2009, tertuduh telah terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila motosikalnya bertembung dengan lori yang mengakibatkan dia mengalami kecacatan di bahagian kaki,” katanya.

Bagaimanapun, Hamidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

“Jelas tertuduh terlibat dalam sindiket penipuan yang terlibat pemalsuan nota perlindungan insurans, iaitu satu dokumen yang dilindungi di bawah undang-undang,” katanya.

Beliau menambah, hukuman juga berperanan sebagai memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak melakukan kesalahan yang serupa.

Artikel Lain