suria

Pembangkang Cuba Pecah Belahkan Perpaduan Kaum - MB Johor

LABIS: Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Pakatan Rakyat yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hanya bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut.

Abdul Ghani berkata tindakan pakatan pembangkang yang dianggotai PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP itu mahu mengejar kuasa seterusnya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

"Janganlah kita pertaruhkan masa depan kepada pihak lawan yang buat pelbagai janji.

"Saya nak jelaskan, hari ini ada parti yang dah datang ke Labis dan Tenang, jumpa orang Melayu cakap lain kemudian depan yang lain cakap lain.

"Mereka bercakap bukan untuk perpaduan tetapi bercakap untuk perpecahan antara kita," katanya ketika menyampaikan ucapan di program Majlis Jamuan Mesra Bersama Menteri Besar Johor di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Labis di sini malam Ahad.

Turut hadir dalam program itu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong dan calon BN Mohd Azahar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, Pakatan Rakyat sanggup menggunakan pelbagai cara untuk mengelirukan rakyat seterusnya memecahkan perpaduan kaum yang telah terjalin sejak zaman kemerdekaan.

"Mereka tak ada masa depan kerana cuba dapatkan tempat dan kuasa dengan perpecahan yang berlaku.

"Cara dia nak pecah-belahkan masyarakat untuk mendapatkan kuasa, ini jauh berbeza dengan BN.

"Saya ambil kesempatan ini meminta supaya pengundi berikan sokongan kepada calon BN," katanya.

Dalam ucapannya Abdul Ghani turut memberikan jaminan kerajaan negeri tidak akan mengabaikan bidang pendidikan.

Beliau berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan sama ada Cina atau Tamil akan turut mendapat peruntukan yang secukupnya daripada kerajaan negeri.

Program selama dua jam itu dihadiri kira-kira 300 masyarakat Tiong Hua dan ia dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan yang disusuli dengan makan malam.

Bukan itu sahaja Mohd Azahar turut mengambil kesempatan menyanyikan sebuah lagi bertajuk "Selamat Tahun Baru Cina" kepada masyarakat Tionghoa yang akan menyambutnya minggu depan.

Pada pilihan kecil kali ini, BN meletakkan Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Rengit manakala PAS diwakili oleh Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis yang juga seorang bekas guru sebagai calon.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008.

Artikel Lain